Sunday, June 26, 2011

BERSEMANGAT

Setelah merasai kekalahan pertama dalam musim bolasepak kali ini, rata-rata pemain PKNP FC menunjukkan semangat yang tinggi bagi memastikan tiada lagi kekalahan dirasai oleh pasukan. Perlawanan seterusnya adalah merupakan perlawanan pada Piala Presiden. Kali ini, PKNP FC akan berhadapan dengan Ukwah FC, naib juara kumpulan B. Ukhwah yang tewas diperingkat awal Piala FA juga akan berjuan bermati-matian untuk memastikan tempat diperingat separuh akhir Piala Presiden ini. Ini akan menambahkan lagi kerancakkan perlawanan ini nanti.

Satu perkara yang diharapkan pada perlawanan kali ini ialah pengadilan yang baik. Mutu pengadilan dalam dua perlawanan yang dilalui oleh PKNP adalah amat mengecewakan. Walau bagaimanapun, sekiranya PKNPFC mempamirkan tahap permainan sepertimana permainan yang lepas, adalah tidak mustahil bagi PKNP untuk membenam Ukhwah FC. Bersama-samalah kita nantikan perlawanan PKNP FC vs Ukhwah FC pada 2 Julai nanti.

Thursday, June 23, 2011

KEKALAHAN

Buat pertama kalinya didalam musim bolasepak Kuantan tahun 2011 ini pasukan PKNP FC menerima kekalahan. Malangnya kekalahan ini berlaku diperingkat piala FA yang dijalankan secara kalah mati. Pertemuan diantara PKNP FC dan MPK yang pada mulanya dijangkakan berat sebelah kerana rata-rata pemain MPK merupakan bekas pemain-pemain yang pernah mewakili Daerah Kuantan dan juga pasukan Pahang. Namun PKNP FC telah berjaya menyaingi MPK dalam setiap aspek. Walaupun dikejutkan dengan gol pada minit ke 11, PKNP FC tidak menyerah kalah dan akhirnya asakan yang dilakukan telah berjaya membuahkan hasil. Gol jaringan Khairul Anuar pada minit ke 19 telah menyuntik keyakinan kepada pemain. Pada minit ke 25, MPK sekali lagi dapat menjaringkan gol hasil kesilapan pemain PKNP FC. Namun sekali lagi PKNP FC bangkit untuk menyamakan kedudukan apabila Muzammir berjaya menolak masuk setelah berlaku pergelutan dihadapan gol MPK. Kedudukan ini kekal sehingga separuh masa.

Pada separuh masa kedua, PKNP FC telah mengasak gol MPK namun beberapa peluang yang didapati telah dipersia-siakan. Akhirnya ianya menjadi igauan kerana kesilapan pertahanan PKNP FC telah dihukum oleh pemain MPK pada minit ke 70 permainan. PKNP FC terus mengasak dan sekali lagi keputusan pengadil tidak memberi penalti walaupun pemain MPK menarik dan menjatuhkan pemain PKNP FC didalam kotak penalti. Dalam keghairahan menyerang, kealpaan pemain menyebabkan gawang PKNP FC dibolosi pada minit-minit terakhir perlawanan. Walaupun tewas, pujian haus diberikan kepada pemain-pemain PKNP FC kerana mempamirkan corak permainan yang terbuka. Namun begitu, kelemahan pengadilan amat ketara kerana pengadil perlawanan gagal mengawal pemain-pemain MPK yang mengasak dan menolak beliau. Sepatutnya pengadil berhak memberi kad merah kepada mana-mana pemain yang bertindak kasar kepada pengadil perlawanan. Perkara ini patut dipandang serius oleh Persatuan Bolasepak Daerah Kuantan bagi menjaga kualiti permainan. Walaubagaimanapun, syabas kepada pasukan PKNP FC yang walaupun tewas tetapi telah melangkaui sasaran yang ditetapkan. SYABAS

Saturday, June 18, 2011

KEMENANGAN BERGAYA

PKNP FC memulakan langkah dipersada Piala FA dengan kemengangan bergaya. Walaupun hanya mampu menewaskan lawan yang sama pada perlawanan terakhir Liga dengan keputusan 1-0, PKNP FC tidak mengulangi kesilapan yang sama. Bermain dengan kesebelasan terkuatnya, Padang Jaya dibenam dengan keputusan 4-1. Gol pertama pada minit ke 20 jaringan Andy memberi nafas lega kepada pemain-pemain yang sebelum melepaskan beberapa peluang bagi membuka tirai. Akhirnya , hantaran satu dua yang dibuat dapat merobek barisan pertahanan lawan dan disepurnakan oleh Andy. Gol kedua menyusul 10 minit kemudian apabila hantaran silang dari Andy ditolak masuk oleh Khairul. Namun kealpaan barisan pertahanan yang bermain agak rileks di hukum oleh lawan. Through pass dari penyerang mereka dapat melepas perangkap off side dan dengan mudah menewaskan Rizal yang sebelum itu tidak diuji oleh lawan.

Separuh masa kedua melihatkan penguasaan PKNP FC dan gawang lawan sekali lagi digegarkan oleh tandukan cantik Azwan. Gol tersebut menebus kecewaan beliau yang gagal menjaringkan gol menggunakan kepala pada perlawanan menentang Ombak Perima. Gol terkahir dijaringkan oleh Muzammir yang dengan mudah menolak masuk hasil lintangan Andy.

Thursday, June 16, 2011

PERSEDIAAN BAGI PIALA FA

PKNP FC telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi Padang Jaya FC didalam kancah Piala FA pada Sabtu ini. Pada hari Sabtu lalu, perlawanan persahabatan pertama telah diadakan bertemu pasukan dari Sungai Isap. Perlawanan yang bertempat di padang Kolej Islam Pahang itu berkesudahan dengan kemenangan besar bagi PKNP FC. Walaupun memperolehi kemenangan 9-3, perlawanan itu tidak berat sebelah dengan kedua-dua pasukan saling serang menyerang. Hanya pertahanan kental PKNP FC berjaya menyekat jaringan pihak lawan.

Perlawanan kedua pula diadakan pada hari Selasa menentang IPD Kuantan. IPD Kuantan yang sedang berlatih untuk sukan antara IPD telah memberi tentangan hebat kepada PKNP FC. Namun begitu kelemahan pihak lawan dapat juga dihukum dan menghasilkan kemenangan 3-1. Pada hari esoknya pula, perlawanan ketiga diadakan dengan lawan yang sama iaitu IPD Kuantan. Perlawanan kali ini berkeputusan seri 3-3. IPD Kuantan bermain dengan lebih kemas dan berjaya mengikat pergerakan pemain PKNP FC.

Dengan perlawanan-perlawanan tersebut, diharapkan dapat menyediakan pemain-pemain pada keadaan yang baik bagi menghadapi perlawanan hari Sabtu ini.

Tuesday, June 7, 2011

Kemenangan Ketiga

Pada perlawanan terkahir kumpulan menyaksikan PKNP FC berjaya menundukkan pasukan Padang Jaya FC 1-0. Walaupun menguasai hampir 70% permainan, PKNP FC tidak berjaya menembusi gawang pasukan lawan sehinggalah minit ke 75 hasil jaringan cantik Azizi. PKNP FC sepatutnya mendahului pasaukan lawan pada separuh masa pertama lagi apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain lawan menjatuhkan pemain PKNP FC didalam kotak penalti. Namun sepakan yang dibuat oleh penyerang PKNP FC Khairul terkena palang. Asakan demi asakan dibuat pada separuh masa kedua dan akhirnya berjaya juga membolos gawang lawan pada minit ke 75. Asakan diperhebatkan selepas itu dan sekali lagi tendangan Khairul terkena palang. Kedudukan ini kekal sehingga wisel penamat. Dengan kemenangan ini, PKNP FC telah berjaya merampas kedudukan tempat ketiga daripada Ombak Perima. Tahniah PKNP FC.

Monday, June 6, 2011

Memburu tempat ketiga

Kemenangan Pasukan Lembaga Pelabuhan Kuantan keatas Kesuma FC meranapkan harapan PKNP FC untuk menjadi juara kumpulan A liga Bolasepak Daerah Kuantan pada tahun 2011 ini. Lembaga Pelabuhan Kuantan kini memperolehi 15 mata hasil dari 5 kemenangan dan 2 kekalahan. Tempat kedua pula dimiliki oleh Mas 10 yang memperolehi 14 mata hasil dari 4 kemengangan dan 2 seri. PKNP FC pula kini memiliki 10 mata dengan berbaki 1 perlawanan hasil dari 2 kemenangan dan 4 seri. PKNP FC perlu mencari kemenangan pada perlawanan esok menentang Padang Jaya FC bagi memastikan tempat ke 3. Barisan serangan perlu menjalankan tugasnya dengan lebih baik bagi menghukum segala kesilapan pertahanan pihak lawan. Kegagalan berbuat demikian mungkin menyebabkan PKNP FC akan berputih mata melihat tempat ke3 itu jatuh ketangan Ombak Perima.

Friday, June 3, 2011

SUMBANGAN DARI PIHAK LUAR



Hari ini merupakan hari yang bertuah kepada PKNP FC kerana telah menerima sumbangan dari pihak AL-Musyarakah yang sudi menyumbangkan sepasang kasut kepada pemain-pemain PKNP FC. Upacara telah disempurnakan oleh wakil pihak Al-Musyarakah, Tuan Sheikh petang tadi. Diharapkan dengan sumbangan ini akan dapat membakar semangat pemain-pemain untuk memburu kemenangan pada baki perlawanan liga nanti dan juga pada saingan Piala FA nanti. Terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi pada pihak AL-Musyarakah dari kami.

SERI LAGI

PKNP sekali lagi diikat tanpa jaringan, kali ini oleh Damak United. Perlawanan kali ini adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun nasib tidak menyebelahi PKNP kerana dua peluang keemasan masing-masing pada minit-minit terakhir separuh masa pertama dan kedua dipersia-siakan oleh penyerang kita. Dengan keputusan seri ini, mencacatkan peluang PKNP untuk menjadi johan kumpulan.